Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan akan menyalurkan sebanyak RM1 juta menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh Kementerian Luar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyaluran bantuan itu adalah sebagai tindakan segera kerajaan Malaysia bagi membantu rakyat Palestin.

"Sebagai tanda solidariti saya menyeru Ahli Yang Berhormat yang berada di luar dan dalam dewan ini untuk turut sama-sama menghulurkan sumbangan dalam tabung yang telah disediakan di luar dewan atas persetujuan Speaker.

"Saya harap tabung itu dapat diisi dan kita serahkan kepada Kementerian Luar," katanya ketika menggulung usul berhubung perkembangan semasa konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan terus memudahkan cara urusan penyaluran bantuan kepada rakyat Palestin dengan segera.

Beliau juga menyarankan semua pihak menggunakan #SolidarityForPalestine di media sosial masing-masing.

"Jadi, tidak perlu mana-mana parti politik atau mana-mana pertubuhan menganjurkan perhimpunan menyokong Palestin, Jumaat ini," katanya.

Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendirian Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel ketika persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO BERNAMA
Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendirian Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel ketika persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 4:25 PM