DR Mohd Uzir (tengah) bergambar  bersama peserta pada majlis Penutupan Karnival Statistik 2022 sempena Majlis Sambutan HSN 2022.
DR Mohd Uzir (tengah) bergambar bersama peserta pada majlis Penutupan Karnival Statistik 2022 sempena Majlis Sambutan HSN 2022.
Oleh Rosman Shamsudin

Sungkai: Karnival Statistik 2022 yang dianjurkan di luar kawasan Lembah Klang sempena sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2022 dan Sedekad Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) mendapat sambutan luar jangkaan dan berlangsung dengan meriah di ILSM Sungkai, baru-baru ini.

Lebih menarik, karnival yang bermula pada 20 Oktober sehingga 22 Oktober lalu dikunjungi kira-kira 5,000 pengunjung terdiri pelbagai segenap lapisan masyarakat.

Sekitar 2010, United Nations General Assembley (UNGA) Ke-64 mengisytiharkan sambutan Hari Statistik Sedunia yang pertama pada 20 Oktober 2010, manakala UNGA Ke-69 menetapkan sambutan kali kedua pada 20 Oktober 2015.

Hari Statistik Sedunia diraikan setiap lima tahun sekali.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) selaku pengeluar statistik rasmi negara bersama kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 September 2017 bersetuju supaya HSN disambut pada 20 Oktober setiap tahun.

HSN membuktikan penghargaan dan pengiktirafan pihak kerajaan terhadap peranan dan sumbangan komuniti statistik di negara ini.

Malah, karnival berkenaan juga mendapat kerjasama daripada pihak kerajaan negeri Perak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan usahawan Bumiputera.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah forum perdana ehwal Islam, pameran kerjaya, program derma darah dan pemeriksaan kesihatan, demonstrasi 'abang bomba', khidmat kaunseling kewangan serta persembahan kebudayaan Keluarga Malaysia.

PESERTA pertandingan memasak tekun menyiapkan juadah.
PESERTA pertandingan memasak tekun menyiapkan juadah.

Selain itu juga, terdapat pameran rumah dan hartanah, kaunter semakan dan bayaran saman, pemeriksaan kenderaan percuma, kaunter bayaran cukai tanah, pameran bergerak oleh agensi kerajaan dan swasta serta pertandingan debat, kuiz Matematik, mewarna, memasak yang membabitkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), kanak-kanak dan penduduk setempat.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penganjuran karnival sempena HSN 2022 dan sedekad ILSM berjaya mencapai matlamat dan objektif berdasarkan sambutan menggalakkan sama ada secara fizikal dan maya menerusi platform media sosial sepanjang ia dijalankan.

Menurutnya, pembabitan semua pihak dalam penganjuran karnival sama ada agensi kerajaan dan swasta sekaligus dapat memupuk semangat kerjasama dan budaya bantu membantu walaupun ia dianjurkan di luar Lembah Klang.

Katanya, kejayaan menganjurkan aktiviti dan segmen yang mendapat sambutan menggalakkan dari segenap lapisan serta peringkat umur masyarakat memberi motivasi kepada DOSM.

"Buktinya, penganjuran forum perdana ehwal Islam sempena karnival HSN 2022 dan sedekad ILSM bersama Jakim dan Bank Islam Malaysia dihadiri kira-kira 1,300 tetamu.

"Kejayaan penganjuran karnival ini bakal memberi impak besar kepada komuniti termasuk aspek publisiti tentang betapa pentingnya statistik dalam kehidupan kita seharian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Karnival Statistik 2022 sempena HSN 2022 dan Sedekad ILSM di ILSM Sungkai, dekat sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Perangkawan Program Ekonomi merangkap Pengerusi HSN Datin Seri Rozita Talha dan Timbalan Ketua Perangkawan Program Sosial dan Pembangunan Teknikal Nazaria Baharudin.

Acara kemuncak karnival berkenaan ialah Forum Perdana Ehwal Islam dengan tema 'Nadi Negaraku' dan ahli panel terdiri daripada pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sharifah Hayati Syed Ismail, Ketua Jaringan Industri dan Komuniti Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim; Imam Muda, Asyraf Mohd Ridzuan serta Pegawai Hal Ehwal Islam, Rizal Ramli sebagai mederator.

Malah, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut mencemar duli bersama-sama tetamu dan secara tidak langsung memeriahkan lagi sesi forum yang dianjurkan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 7:01 AM