Bangunan Bursa Malaysia, Bukit Kewangan. - FOTO NSTP
Bangunan Bursa Malaysia, Bukit Kewangan. - FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) yakin melalui kerjasamanya dengan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) dapat membantu membangunkan landskap modal pasaran dan menarik penyertaan pelabur dalam pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pihaknya menandatangani perjanjian DOSM yang memberi akses kepada kedua-dua pihak berkongsi data makroekonomi.

Katanya, ini bagi mengenal pasti trend penting dan pemahaman untuk membangunkan modal pasaran.

"Menerusi kerjasama DOSM dan Bursa Malaysia ini kami akan berkongsi data demografik, statistik makroekonomi dan laporan.

"DOSM pula akan memperolehi akses kepada pangkalan data berhubung syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, termasuk statistik dagangan.

"Kami percaya kolaborasi ini akan menghasilkan sinergi yang ketara di antara kedua-dua pihak untuk terus membangunkan landskap modal pasaran dan pada masa yang sama menyediakan inisiatif baru mempertingkatkan penyertaan pelabur.

"Perkongsian data dengan DOSM akan membolehkan kita menilai keadaan ekonomi, membuat keputusan yang lebih baik untuk mempertingkatkan perkhidmatan dan menjadi lebih kompetitif," katanya di majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Bursa Malaysia dan DOSM, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Di bawah terma perjanjian, DOSM dan Bursa Malaysia berpeluang menjalankan eksplorasi di dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama ke arah pembangunan modal pasaran.

Bursa Malaysia juga ingin meyakinkan pelabur bahawa data dagangan individu tidak terbabit di dalam perjanjian ini dan tidak akan didedahkan kepada umum.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata Data Bursa Malaysia ini amat penting kerana ia digunakan sebagai input kepada penyusunan Penunjuk Ekonomi Malaysia melalui Indeks Pelopor yang memberikan unjuran arah pergerakan ekonomi dalam tempoh terdekat iaitu dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

"Indeks ini diterbitkan secara bulanan dan digunakan secara meluas oleh penyelidik ekonomi dalam jangkaan ekonomi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 3:57 PM