PERWAKILAN negeri pada Muktamar Tahunan PAS ke 69 di Shah Alam. FOTO Saifullizan Tamadi
PERWAKILAN negeri pada Muktamar Tahunan PAS ke 69 di Shah Alam. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohd Iskandar Ibrahim


Shah Alam: Kerajaan digesa menghantar nota bantahan kepada negara yang bertindak menghalang usul gencatan senjata daripada dilulus dan dilaksanakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membabitkan isu Palestin.

Gesaan itu disuarakan Pengerusi Lajnah Hal Ehwa Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika mencadangkan usul berkaitan Palestin pada Muktamar Pas ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Katanya, Malaysia juga perlu mengetuai usaha untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di atas kekejaman dilakukan rejim Zionis terbabit.

"Pas dengan sehala kekuatan dan keazaman mengutuk sekeras-kerasnya jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai oleh entiti haram Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

"Terutama pembunuhan kejam ke atas wanita dan kanak-kanak selain pengeboman terancang terhadap hospital, masjid dan sekolah yang jelas tidak berperikemanusiaan serta mencabul undang-undang antarabangsa," katanya.

Muhammad Khalil berkata, kerajaan juga harus bertegas memperjuangkan kebebasan Palestin.

Katanya, Malaysia perlu menolak dengan tegas peranan Amerika Syarikat (AS) yang penuh dengan muslihat selain jelas mendukung dan menaja serangan kejam Israel.

"Mendesak kerajaan untuk bertegas menolak 'two state solution' (penyelesaian dua negara) yang nyata gagal memberi kemerdekaan dan keadilan kepada Palestin dan rakyatnya selama ini.

"Malah, ia dijadikan pegangan entiti haram Israel untuk terus menzalimi dan merampas hak rakyat Palestin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 7:47 PM