GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa menggunakan semua saluran antarabangsa bagi mengenakan tekanan diplomatik ke atas Israel untuk menghentikan penjajahannya ke atas Palestin.

Dalam kenyataan bersama Jawatankuasa Muslim-Kristian Malaysia untuk Menyelamatkan Jerusalem, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Malaysia juga wajar mewujudkan dasar boikot ke atas Israel dalam sebarang pembabitan secara langsung atau tidak langsung.

Katanya, negara perlu memainkan peranan mengesyorkan mesyuarat diadakan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dan Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) untuk melancarkan tekanan antarabangsa ke atas Israel mengikut undang-undang.

"Selain itu, kita juga perlu mendedikasikan teks khutbah khas dalam solat Jumaat mengenai kepentingan mempertahankan Masjidil Aqsa dan peranan semua umat Islam.

"Kerajaan perlu meminta kaukus Parlimen Malaysia di Palestin untuk bersidang dan mencadangkan satu kenyataan dan inisiatif Malaysia mengenai pencabulan ke atas Al Aqsa oleh zionis Israel," katanya.

Turut bersama dalam kenyataan itu ialah Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia dalam Pertahankan Al Aqsa (Manar) Datuk Seri Syeikh Ahmad Awang, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Asia ( Shura) Datuk Syeikh Abdul Ghani Samsudin, Penasihat Persatuan NextGen Christian of Malaysia (Ancom), Jason Leong dan Penasihat Ancom, Pastor Joshua Hong.

Mereka berkata, rakyat Palestin dari semua agama mempunyai hak untuk mempertahankan tempat ibadat mereka yang suci daripada semua pencerobohan dan akibatnya akan ditanggung rejim zionis.

"Kami mengecam kempen pembunuhan di luar undang-undang yang dilakukan dengan pendudukan Israel di Tebing Barat. Serangan ke atas Al Aqsa adalah sebahagian daripada rancangan untuk menduduki Baitulmaqdis Timur.

"Kami yakin peningkatan kejam dan keganasan itu sebenarnya akan menguatkan keazaman rakyat Palestin untuk mempertahankan tanah dan tempat perlindungan mereka," katanya.

Jumaat lalu, rejim zionis bertempur dengan penduduk Palestin di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis, satu lagi serangan pada bulan Ramadan ketika umat Islam sedang berpuasa.

Pencerobohan diteruskan lagi dengan polis Israel memasuki masjid suci ketiga umat Islam itu semalam untuk melakukan provokasi sehingga mengundang kemarahan penduduk Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 4:39 PM