Calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika hadir di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman sebelum ini. FOTO BERNAMA
Calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika hadir di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman sebelum ini. FOTO BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman


Chukai: Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menzahirkan penghargaan kepada 27,778 pengundi yang memberikan sokongan kepadanya selaku calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman hari ini.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu turut mengucapkan tahniah kepada juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku calon PAS kerana berjaya mengekalkan penguasaan parti itu di kerusi Parlimen berkenaan.

"Terima kasih juga kepada seluruh jentera UMNO, BN dan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat bahagian, negeri dan seluruh negara yang bertungkus-lumus membantu berkempen untuk saya.

"Sesungguhnya, kita hanyalah berusaha dan selebihnya saya berserah kepada Allah SWT," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab mengumumkan Ahmad Samsuri memenangi Parlimen Kemaman, sekali gus mempertahankan kerusi dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ahmad Samsuri memenangi PRK itu dengan majoriti undi lebih tinggi iaitu 37,220 undi.

Ia melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Dalam PRK hari ini, Ahmad Samsuri mendapat 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi mendapat 27,778 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 11:55 PM