GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan minyak diesel dan makanan sejuk beku berjaya ditumpaskan menerusi 12 serbuan di beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi Op Tiris dan Op Taring sejak 10 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, seramai 15 individu diberkas dalam serbuan yang dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) itu.

Beliau berkata, empat serbuan dijalankan membabitkan Op Tiris manakala lapan serbuan Op Taring dijalankan membabitkan sindiket yang dikesan bergiat aktif.

"Serbuan menerusi Op Tiris yang menyasarkan kegiatan penyelewengan diesel membabitkan seramai 12 individu termasuk seorang warga Myanmar ditahan.

"Semua suspek lelaki berumur 20 hingga 48 tahun itu diberkas bersama rampasan bernilai RM1,468,321," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hazani berkata, Op Taring membabitkan tangkapan tiga individu termasuk dua wanita warga Indonesia.

"Semua suspek ditahan berusia 26 hingga 36 tahun. Turut dirampas 54,515 kotak mengandungi pelbagai jenis makanan sejuk beku, 144 peket gula pasir dengan nilai RM14,121,465,36," katanya.

Menurutnya, tangkapan dijalankan untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Haiwan 2015," katanya.

Katanya, sebanyak 165 serbuan dijalankan sejak Januari sehingga Oktober ini dengan membabitkan tangkapan seramai 392 individu.

"Semua tangkapan ini terdiri daripada 291 lelaki warga tempatan berusia antara 18 hingga 60 tahun dan 27 wanita tempatan berusia antara 19 hingga 35 tahun.

"Selain itu, serbuan dijalankan turut menahan seramai 64 lelaki warga asing berusia antara 19 hingga 45 tahun dan 10 wanita warga asing berumur 30 hingga 36 tahun," katanya.

Jelasnya, serbuan dan tangkapan dijalankan ini turut membabitkan rampasan pelbagai barang kes bernilai keseluruhan kira-kira RM215,565,308.87.

"JKDNKA sentiasa komited dalam memerangi penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewengan barangan kawalan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.

"Operasi bersepadu bersama agensi terbabit sentiasa dijalankan dan masa sama orang ramai diharap dapat terus menyalurkan maklumat kepada polis supaya kegiatan jenayah ini dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 11:51 AM