ARSHAD (kiri) dan Inspektor Nadzir Abdul Rahman mempamerkan barang kes yang dirampas daripada suspek di IPD Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
ARSHAD (kiri) dan Inspektor Nadzir Abdul Rahman mempamerkan barang kes yang dirampas daripada suspek di IPD Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Alor Gajah: Hanya 45 minit selepas aduan diterima, seorang penganggur yang menyamar sebagai pegawai polis dan memeras ugut seorang lelaki ditahan di Kampung Sungai Ragok, Ayer Pa'abas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, polis menerima aduan daripada mangsa berusia 26 tahun pada jam 5.15 petang semalam berhubung suspek yang mendakwa sebagai 'Inspektor Farid' meminta RM7,000 kononnya untuk membebaskan abang mangsa daripada tangkapan kes narkotik.

"Suspek berusia 33 tahun dipercayai meminta wang itu daripada mangsa, kononnya untuk melepaskan abang mangsa yang ditahan pada 22 November lalu kerana kesalahan narkotik.

"Suspek dipercayai mengugut kononnya abang mangsa akan didakwa di mahkamah jika wang itu tidak diserahkan dan mangsa bersetuju menyerahkan wang berkenaan pada 22 November lalu," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu selepas abangnya dituduh di mahkamah pada 2 Disember lalu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada jam 5.15 petang semalam.

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Alor Gajah menyerbu sebuah rumah di Kampung Sungai Ragok dan menahan suspek pada jam 6 petang semalam.

"Pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol mainan Glock 19 Austria 9x19, satu sarung tangan 'holster' hitam dan tali 'lanyard.'

"Selain itu, polis menemukan sebutir peluru hidup bertulis 'Remington 12GA,' sebutir peluru hidup putih bertulis 'Zuber,' dan satu kelopak kosong dipercayai kelopak senjata api SMG HK MP5," katanya.

Arshad berkata, polis turut menemukan satu buku log bertulis (G/23250) Mohd Farid Yahaya, Cawangan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Turut ditemukan ialah satu buku catatan bertulis nama Inspektor G/23250 Mohd Farid, Cawangan Risikan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

"Suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari hingga 15 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 dan Seksyen 35 Akta Senjata 1960," katanya.

Dalam kes berasingan, polis memburu lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai melarikan motosikal Honda Dash selepas memukul seorang penoreh getah wanita di kebun getah Batu 17, Kampung Tanjung Balai, Melekek, di sini pada awal pagi, 5 Disember lalu.

Arshad berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, suspek dipercayai memukul mangsa berusia 47 tahun ketika menoreh getah sebelum melarikan motosikal mangsa, satu telefon bimbit, dompet dan sebentuk cincin emas mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 4:34 PM