FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Rizanizam Abdul Hamid


Alor Gajah: Penuntut kolej universiti di Ayer Pa'abas, Alor Gajah, maut dalam keadaan bersujud atas kubur, malam tadi.

Penuntut itu maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum dirinya tercampak ke kawasan tanah perkuburan Islam di hadapan kolej terbabit pada kejadian 11.30 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata Muhammad Faiz Akmal Mohd Radzali, 19, adalah penuntut Tahap 1 SKM Penyeliaan dan Operasi Penanaman di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).

"Kejadian apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah Ayer Pa'abas ke Lendu tiba-tiba hilang kawalan di hadapan kolej terbabit sebelum terbabas ke kiri jalan.

"Motosikal jenis Yamaha LC itu kemudian terus melanggar pagar tanah perkuburan mengakibatkan mangsa tercampak ke atas kubur di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini.

Menurutnya, penuntut itu berasal dari Arau, Perlis.

Katanya, jasad penuntut itu kemudiannya dihantar ke Hospital Alor Gajah manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 11:02 AM