GERAI penjaja pasar malam di kawasan Barat Daya digempur pihak berkuasa menerusi Op Bersepadu Pasar Malam. FOTO ihsan MBPP
GERAI penjaja pasar malam di kawasan Barat Daya digempur pihak berkuasa menerusi Op Bersepadu Pasar Malam. FOTO ihsan MBPP
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Pasar malam di kawasan Barat Daya di sini, kelmarin, digempur pihak berkuasa dalam usaha bagi membanteras peniaga warga asing menerusi Op Bersepadu Pasar Malam.

Menerusi operasi dijalankan Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu, sebanyak 123 gerai penjaja diperiksa Unit Perniagaan Kecil MBPP.

MBPP menerusi kenyataannya berkata, susulan pemeriksaan itu, pihaknya merampas barangan di empat gerai warga asing yang menjual buah-buahan, bantal dan karpet di pasar malam berkenaan.

"Sebanyak 12 kompaun juga dikeluarkan kepada pekerja gerai menjual makanan yang tidak mengambil suntikan anti-tifoid.

"Pegawai Pelesenan MBPP juga memberi teguran dan nasihat kepada penjaja yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman supaya mengutamakan kebersihan persekitaran serta peralatan bagi memastikan kualiti penyediaan jualan mereka terjamin," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook MBPP, semalam.

Menurutnya, JIM turut menahan seramai tujuh warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ketika operasi berkenaan.

Manakala KPDN pula memeriksa gerai, memberi teguran dan amaran kepada peniaga dalam aspek penandaan harga pada barangan jualan supaya diperincikan serta diperkemaskan supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan.

"Pada masa yang sama Unit Tred, Industri dan Establisymen Makanan (TIEM) MBPP memeriksa lima premis perniagaan dan mengeluarkan satu Notis Tentang Kesalahan kepada premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Manakala satu Notis Tentang Kesalahan dan tiga kompaun dikeluarkan bagi kesalahan meletak peralatan serta barangan jualan di siar kaki yang mendatangkan halangan," katanya.

Menurut kenyataan itu, operasi bersepadu seumpamanya akan dipergiatkan lagi daripada semasa ke semasa dengan pembabitan lebih banyak agensi penguatkuasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 12:43 PM