Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Kritikan bahawa kerajaan tidak faham dan prihatin terhadap permasalahan dihadapi rakyat terutama membabitkan kos sara hidup adalah tidak benar, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, harga barangan keperluan seperti ayam, telur dan minyak masak masih rendah serta stabil jika dibandingkan dengan kerajaan terdahulu.

"Saya bagi contoh umpamanya, tahun 2021 sebelum pertukaran kerajaan, berapa harga ayam? Sampai RM13 sekilogram (kg), sekarang jauh lebih rendah. Minyak masak lima kg ketika itu mencecah RM45, jadi kawan pembangkang saya bising tetapi dia lupa dan dia ingat kita pun lupa.

"Masa dia jaga, harga minyak masak itu untuk lima kg, RM45 hingga RM50, sekarang sekitar RM27. Telur ayam, dahulu heboh tidak ada telur, sekarang stabil dan kita sudah guna penyelarasan subsidi. Bayangkan harga ayam turun ketimbang dua tahun lalu tanpa bantuan siling," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

ANWAR (kiri) berucap ketika Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kerja JPM. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR (kiri) berucap ketika Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kerja JPM. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Anwar berkata, biarpun isu beras masih lagi berdepan sedikit masalah terutama beras tempatan, namun ketegasan kerajaan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyaksikan penurunan harga beras import antara RM2 hingga RM3.

"Di samping itu, kita teruskan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan STR untuk 2024, ditambah bagi membantu… kalau 2023, sembilan juta penerima, memanfaatkan 60 peratus rakyat dewasa negara kita dengan peruntukan RM8 bilion.

"Tahun ini, (peruntukan) RM10 bilion untuk STR, itu secara langsung kepada rakyat, maknanya kadar maksimum untuk tahun 2023 ialah RM3,100 untuk satu keluarga, sekarang RM3,700," katanya.

Beliau berkata, begitu juga bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan pada Januari lalu, meningkat lima kali ganda.

"Tahun 2023 (peruntukan) RM130 juta, 2024 (peruntukan) RM700 juta, penerima dahulu untuk 2023 hanya miskin tegar yang terima, untuk 2024 kita tingkatkan untuk miskin tegar dan miskin, 700,000 orang yang peroleh.

"Jadi saya minta saudara tolong jelaskan walaupun penjawat awam tidak semestinya campur arus politik, ini soal dasar kerajaan dan bagi fakta, kalau tidak, seolah (kita) tidak berbuat apa, ada yang mengatakan sejak kerajaan MADANI, tidak ada apa yang dilakukan dan sebahagian walaun kata ya benar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 10:59 AM