GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sebanyak RM210 juta disalurkan oleh kerajaan kepada 700,000 penerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara) di seluruh negara setakat 26 Mac 2024.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, bagi penerima program Sara di Semenanjung Malaysia, ia disalurkan secara bulanan iaitu RM100 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan manakala RM50 untuk golongan bujang.

Bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula katanya, bantuan Sara disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan serta RM300 untuk golongan bujang.

"Ia disalurkan pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024 melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara," katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Zahari Kechik (PN-Jeli) mengenai jumlah penerima dan peruntukan yang telah disalurkan oleh Kementerian Kewangan melalui Sara.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, pemberian peruntukan Sara ini juga telah mengalami peningkatan lebih lima kali ganda berbanding tahun lalu.

Ini kerana katanya, program Sara pada tahun 2024 memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding pada tahun lalu, melibatkan 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 1:02 PM