Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan lima rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Tebing Barat susulan pertempuran antara Israel dan Hamas berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, lima orang itu ialah seorang ibu bersama tiga anaknya dan seorang doktor, Nurul Ain Latif berasal dari Kota Bharu, Kelantan yang berkahwin dengan warga Palestin.

"Keadaan mereka berada di tempat yang selamat. Kita juga sedang berusaha untuk melakukan proses evakuasi untuk Dr Nurul Ain ini.

"Sehingga kini kita mendapat kerjasama daripada Kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga ini bersama dengan lapan warga Indonesia yang berada di kawasan tersebut," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi pertanyaan menteri mengenai apakah langkah atau bantuan sokongan akan diberikan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Tebing Barat.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Wisma Putra juga sedang memantau kedudukan rakyat Malaysia lain sekiranya ada di kawasan terbabit.

"Sehingga setakat ini, belum ada laporan lain membabitkan kedudukan rakyat Malaysia.

"Melainkan beberapa hari lalu ada rombongan rakyat Malaysia dan Singapura yang berada di kawasan Baitulmaqdis, (tetapi) telah dikeluarkan," katanya.

TENTERA Israel di Tebing Barat pada 11 Oktober. FOTO AFP
TENTERA Israel di Tebing Barat pada 11 Oktober. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 1:18 PM