Pejuang Palestin mengusung jenazah anggota Briged al-Qassam Mohammed al-Safadi yang terkorban selepas serangan udara rejim Zionis di Semenanjung Gaza kelmarin. (Gambar kecil) Hamza. FOTO Agensi
Pejuang Palestin mengusung jenazah anggota Briged al-Qassam Mohammed al-Safadi yang terkorban selepas serangan udara rejim Zionis di Semenanjung Gaza kelmarin. (Gambar kecil) Hamza. FOTO Agensi
Mazizul Dani


LEBIH 1,300 orang cedera dan empat terbunuh susulan bantahan pengisytiharan haram Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Penyelaras Media Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi berkata, di Semenanjung Gaza, rakyat Palestin menganjurkan bantahan sebaik pengisytiharan Rabu lalu sehingga berlaku ketegangan.

"Ada yang menaiki kenderaan menuju ke zon penampan iaitu kawasan antara Semenanjung Gaza dan sempadan dikuasai Israel, sehingga membawa kepada pertempuran.

“Pada keesokan hari, jet Israel mensasarkan beberapa kawasan di Semenanjung Gaza sehingga menyebabkan tiga rakyat Palestin terbunuh dan mencederakan lebih daripada 30 yang lain.

"Sehingga kini di wilayah itu sahaja, empat terbunuh dengan lebih 200 rakyat Palestin cedera," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Di Baitulmaqdis dan Tebing Barat, rakyat Palestin menyuarakan kemarahan mereka sebaik selesai solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa dan berarak ke tempat pemeriksaan dikuasai rejim Zionis.

Susulan itu, rejim Yahudi mengerahkan tenteranya ke seluruh Baitulmaqdis dan Tebing Barat serta mula mengganggu serta menyerang penunjuk perasaan secara ganas dengan menembak peluru hidup, peluru getah dan gas pemedih mata.

"Jumlah kecederaan di seluruh tempat sehingga kini sudah melebihi 1,300 orang termasuk di Semenanjung Gaza selepas rakyat menunjukkan kemarahan mereka terhadap tindakan Trump.

"Hamas kemudian menyeru kepada Intifada atau pemberontakan terhadap keputusan ini yang dinamakan sebagai "Al-Quds Intifada"," katanya.

Hamza berkata, Presiden Palestin Mahmoud Abbas dalam ucapannya sebelum ini berkata, tindakan Trump itu telah membunuh operasi damai di Timur Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 11:09 PM