AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO arkib NSTP
AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto menolak Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi menggesa gencatan senjata antara rejim Zionis Israel dan Palestin, baru-baru ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin, Al-Sultan Abdullah bertitah, tindakan AS itu sekali gus menggagalkan usaha UNSC mencari jalan penyelesaian konflik rejim Zionis Israel-Palestin yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 17,000 rakyat Palestin dengan kira-kira 70 peratus membabitkan kanak-kanak dan wanita, dan lebih 48,000 lagi cedera.

"Tindakan tersebut juga seolah-olah menghalalkan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dengan pembunuhan lebih ramai orang awam dan kemusnahan harta benda, fasiliti serta kemudahan perubatan di Gaza," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pendirian kerajaan Malaysia, menerusi kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang membantah dan mengecam tindakan veto AS terhadap resolusi dikemukakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan disokong 102 negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban dan penderitaan mereka.

"Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar konflik rejim Zionis Israel-Palestin itu dapat dihentikan dengan segera serta rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan," katanya.

Katanya, Al-Sultan Abdullah turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam untuk terus mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 4:39 PM