EMPAT lelaki pengarah jabatan kerajaan dilepas dengan jaminan SPRM selepas mahkamah menolak permohonan reman ke atas mereka, hari ini. FOTO NSTP.
EMPAT lelaki pengarah jabatan kerajaan dilepas dengan jaminan SPRM selepas mahkamah menolak permohonan reman ke atas mereka, hari ini. FOTO NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Dua penjawat awam termasuk pengarah jabatan kerajaan, pemilik syarikat dan pengurus pelaburan amanah yang ditahan kerana disyaki terbabit memberi dan menerima suapan bernilai jutaan ringgit dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Menurut sumber, empat suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching, pagi tadi bagi tujuan permohonan reman.

"Bagaimanapun, Majistret Puan Zubaidah Sharkawi menolak permohonan reman yang dikemukakan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) di mana suspek pertama dan ketiga masing-masing berusia lingkungan 50-an dan 30-an, dilepaskan dengan jaminan RM150,000 (tanpa deposit) dengan seorang penjamin.

"Suspek kedua berusia 40-an dan suspek keempat berusia 50-an dilepaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin," katanya.

Mereka ditahan pada 7.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sarawak.

Menurut sumber, suspek utama disyaki menerima suapan sejak 2018 hingga 2021 daripada pemilik syarikat sebagai balasan membantu syarikat itu mendapatkan dua projek membabitkan bekalan air yang berjumlah kira-kira RM44.4 juta.

"Manakala pengurus pelaburan amanah pula ditangkap kerana disyaki menerima bayaran wang rasuah dan kediaman bagi pihak suspek utama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, dua penjawat awam termasuk pengarah jabatan kerajaan, pemilik syarikat dan pengurus pelaburan amanah diberkas SPRM selepas disyaki terbabit memberi dan menerima suapan bernilai jutaan ringgit, termasuk dalam bentuk kenderaan serta kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 4:38 PM