FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang ketua pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah lebih RM24,000.

Suspek lelaki berusia 52 tahun terbabit ditahan di pejabat SPRM cawangan Lahad Datu, jam 2.30 petang semalam, selepas hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek disyaki menggunakan jawatannya untuk mendapat suapan dengan mengemukakan invois sebuah syarikat yang mana pemilik syarikat berkenaan mempunyai kaitan dengan suspek.

"Bagaimanapun, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin," katanya.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy yang dihubungi, hari ini, mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau esok (Khamis)," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada hari yang sama, SPRM Sabah turut menahan seorang Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) kerana disyaki memperdayakan seorang wanita dengan memperoleh wang tunai RM1,000.

Suspek lelaki yang berusia 54 tahun itu memperdaya wanita terbabit bahawa boleh membantu mengeluarkan sijil daftar lewat kelahiran serta kad pengenalan wanita itu dan adiknya dengan membayar wang berkenaan.

Suspek yang juga bekerja sebagai peniaga ditahan kira-kira 2 petang di pejabat sama selepas hadir memberikan keterangan.

Namun, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Karunanithy yang turut mengesahkan perkara itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 9:56 AM