FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu yang terdiri daripada dua penjawat awam termasuk pengarah jabatan kerajaan, pemilik syarikat dan pengurus pelaburan amanah kerana disyaki terbabit memberi dan menerima suapan bernilai jutaan ringgit termasuk dalam bentuk kenderaan dan kediaman.

Menurut sumber, semua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an dipercayai ditahan 7.30 malam tadi di pejabat SPRM Sarawak ketika diminta hadir memberikan keterangan.

"Suspek utama disyaki menerima suapan antara 2018 dan 2021 daripada pemilik syarikat sebagai balasan membantu syarikat itu mendapatkan dua projek membabitkan bekalan air yang berjumlah kira-kira RM44.4 juta.

"Manakala, pengurus pelaburan amanah pula ditangkap kerana disyaki menerima bayaran wang rasuah dan kediaman bagi pihak suspek utama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kesemua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak, pada pagi ini untuk permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 7:44 AM