Pemandangan puncak Gunung Kinabalu
Pemandangan puncak Gunung Kinabalu
BERNAMA

Kota Kinabalu: Tujuh hotel baharu di Sabah bakal beroperasi tidak lama lagi, dengan menyediakan tambahan 2,053 bilik penginapan bagi menampung peningkatan berterusan kedatangan pelancong ke negeri ini, yang boleh mencapai 2.2 juta orang tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata terdapat 685 hotel sedia ada di Sabah terdiri daripada bertaraf lima bintang kepada hotel bajet atau rumah tumpangan dengan kapasiti 26,822 bilik.

"Perkembangan ini memberi petanda baik kepada negeri ini dengan statistik menunjukkan Sabah terus menjadi destinasi yang dicari dalam kalangan pelancong," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-40 Shangri-La Tanjung Aru Resort di sini, malam tadi.

Hajiji berkata, Sabah merekodkan 1.4 juta ketibaan antarabangsa dan domestik dari Januari hingga Julai tahun ini dan berharap dapat mencapai sasaran 2.2 juta menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, purata kadar penginapan hotel Sabah bagi enam bulan lepas ialah 52 peratus.

"Saya dimaklumkan pada hari tertentu hotel penuh, terutama semasa cuti atau ketika sesuatu acara diadakan," katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri memperuntukkan RM10 juta untuk membaiki infrastruktur asas pelancongan di kawasan luar bandar bagi menggalakkan pertumbuhan pelancongan berasaskan komuniti.

Katanya, menjelang 2030, Sabah berharap dapat mencapai 80 peratus sasaran pematuhan standard ASEAN untuk pelancongan berasaskan komuniti, ke arah memperkasakan dan meningkatkan kehidupan masyarakat di luar bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 12:54 PM