HAJIJI (kanan) bersama Liang. FOTO ihsan Pejabat Ketua Menteri Sabah
HAJIJI (kanan) bersama Liang. FOTO ihsan Pejabat Ketua Menteri Sabah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah berharap pelancong China kembali menjadikan negeri ini sebagai destinasi percutian utama mereka apabila pintu sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor, berkata, kedatangan pelancong asing terutama dari China penting bagi membantu kerancakan aktiviti pelancongan negeri seperti sebelum pandemik Covid-19.

"Pandemik Covid-19 menyebabkan sektor pelancongan terjejas teruk, namun dengan pembukaan semula sempadan negara kepada pelawat antarabangsa dalam tempoh terdekat, kita berharap ramai pelancong dari China akan kembali melawat Sabah.

"Ia dapat membantu pemulihan sektor pelancongan tempatan dan meningkatkan ekonomi negeri", katanya ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di sini, semalam.

Hajiji juga berharap Caide dan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia membantu mempromosikan Sabah sebagai antara destinasi pelancongan utama di China.

Katanya, Sabah juga sangat mengalu-alukan pelaburan asing terutama dari negara China untuk bersama-sama membangunkan pelbagai sektor utama di negeri ini seperti perindustrian, pembinaan, pelancongan, pertanian dan industri berteknologi tinggi yang baharu.

"Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bekerjasama erat dengan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu dan Kedutaan China untuk menarik lebih ramai pelabur China ke Sabah, yang akan membantu merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi negeri ini.

"Hubungan baik dan kerjasama yang sedia terjalin di antara Sabah dan China akan terus diperkukuhkan lagi kerana ia memberi banyak manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.

Terdahulu, Caide memberi taklimat kepada Hajiji berhubung perkembangan terkini di China dan usaha yang dilakukan oleh pejabatnya dalam membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan, pelaburan dan perdagangan.

Pelawat dari China adalah pelancong asing terbesar Sabah sebelum pandemik Covid-19 bermula pada awal 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 11:10 AM