HAJIJI (kiri) dan Bung Moktar. FOTO arkib NSTP
HAJIJI (kiri) dan Bung Moktar. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kenyataan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa kemelut politik negeri itu belum lagi berakhir hanyalah pandangan peribadi beliau.

"Ya, itu dia. Dialah punya cerita," katanya ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah itu.

Hajiji ditemui pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF), di sini, hari ini.

Semalam, Bung Moktar dilaporkan berkata, walaupun situasi politik di Sabah kini kelihatan tenang, namun pergolakan belum lagi selesai.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu bagaimanapun menafikan Umno dan Barisan Nasional (BN) cuba menggulingkan kerajaan negeri, sebaliknya mengakui tindakan BN adalah untuk membetulkan hala tuju politik Sabah.

Sementara itu, Hajiji memberi bayangan kemungkinan sekali lagi melakukan rombakan Kabinet negeri bagi mengisi jawatan empat Pembantu Menteri ditinggalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang menyokong Bung Moktar.

Katanya, beliau akan memikirkan perkara itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

"Bagi saya ruang untuk fikir bagaimana kita tadbir negeri dengan baik. Bagi saya, kita perlu lihat segala aspek dalam soal seumpama ini, jadi jangan bimbang, kita akan ambil tindakan yang sepatutnya. Apa yang penting ialah kepentingan negeri dan rakyat," katanya.

Empat pembantu menteri terbabit ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy (Tanjung Batu); Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Harun Durabi (Bengkoka); Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Hamsan Awg Supain (Sungai Sibuga) dan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Mohd Tamin Zainal (Pantai Manis).

Rombakan Kabinet Sabah pada Rabu lalu menyaksikan Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag digugurkan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya yang kemudian diganti Adun Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Shahelmey adalah antara lima Adun Umno yang tidak bersetuju dengan tindakan Umno Sabah menarik sokongan kepada Hajiji dan kerajaan negeri pimpinannya.

Empat lagi ialah Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk James Ratib (Sugut) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).

Selain Bung Moktar, dua lagi menteri mewakili BN Sabah turut digugurkan daripada Kabinet Hajiji iaitu Adun Karambunai, Datuk Yakub Khan (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri) dan Adun Sukau, Datuk Jafry Arifin (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri).

Portfolio mereka masing-masing diambil alih Adun Membakut yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Mohd Arifin Arif (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri) dan Datuk Christina Liew mewakili PH Sabah (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri).

Hajiji bagaimanapun enggan mengulas sama ada lima Adun Umno yang menyokongnya akan diterima dalam GRS jika dikenakan tindakan oleh Umno.

Dalam hal berkaitan, Hajiji berkata, rombakan Kabinet yang dilakukannya Rabu lalu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sudah tentu saya beritahu dia. Bagi saya ini perlu bukan saja saya maklumkan kepada pucuk pimpinan (persekutuan) dan Perdana Menteri tapi apa yang kita lakukan ini adalah untuk kebaikan Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 3:19 PM