HAJIJI, gambar fail.  FOTO Arkib NSTP
HAJIJI, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menafikan berlaku salah guna kuasa dalam kelulusan berhubung rundingan pengambilan tanah di Kudat.

Menjawab dakwaan yang disebarkan melalui laman Facebook berhubung pengambilan tanah yang didakwa untuk perlombongan pasir silika di daerah itu, Hajiji berkata semua permohonan adalah mengikut undang-undang.

Beliau berkata, dakwaan kononnya berlaku salah guna kuasa membabitkan dirinya adalah berniat jahat, bermotifkan politik dan bertujuan memburukkan namanya.

"Pejabat saya akan memberi kerjasama penuh terhadap mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung dengan dakwaan ini," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri Sabah itu menyusul berikutan satu artikel yang dimuat naik sebuah laman Facebook mendakwa Hajiji menggunakan kuasanya meluluskan permohonan tanah di daerah itu termasuk milik Yayasan Sabah.

Hajiji berkata, semua permohonan tanah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan diproses di pejabat.

"Permohonan membabitkan tanah Yayasan Sabah sudah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan semuanya dibuat mengikut undang-undang.

"Siasatan akan dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang mendedahkan dokumen rahsia yang digunakan untuk membuat dakwaan terbabit," katanya.

Katanya, pihak berkuasa juga sudah dimaklumkan mengenai akaun Facebook yang memuat naik dakwaan untuk mencemarkan reputasinya itu.

"Saya juga akan mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 5:16 PM