MOHD Shafie menerima kunjungan Duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko (kanan). FOTO Mohd Adam Arinin
MOHD Shafie menerima kunjungan Duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko (kanan). FOTO Mohd Adam Arinin
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tidak ada keperluan untuk membawa status legitimasi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ke mahkamah.

Menurutnya, semuanya telah jelas dinyatakan dan termaktub dalam undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah walaupun Hajiji semalam dilaporkan

berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan status kedudukannya sebagai Ketua Menteri boleh membawa perkara terbabit ke mahkamah.

Susulan itu, Mohd Shafie berpendapat tiada keperluan untuk membawa perkara terbabit ke mahkamah atau membentangkan usul undi percaya berhubung keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN), esok.

"Sebelum ini, semasa saya menjadi Ketua Menteri, kita bawa usul undi percaya di ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dua pertiga (undi percaya) saya menang," katanya selepas sesi pertemuan dengan Duta Jepun di Malaysia, Takahashi Katsuhiko di kediamannya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut ditanya pemberita mengenai komen beliau berhubung dakwaan Hajiji memiliki sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), semalam.

Mengulas mengenai perkara tersebut, beliau berkata jumlah majoriti atau akuan bersumpah (SD) adalah tidak penting.

"Dia (Hajij) ada nombor, kita juga ada nombor. Tidak perlu bercakap tentang nombor atau SD. Apa yang penting ialah pematuhan terhadap undang-undang.

"Saya bukan mahu jadi Ketua Menteri, gilakan jawatan. Dari dulu pun saya sudah ditawarkan menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) semasa (pentadbiran) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bukan itu jadi tuntutan.

"Kita mahu membentuk Kerajaan Perpaduan dan penting untuk kita terjemahkannya. Kerana itu saya melihat penting untuk kita melihat daripada sudut undang-undang Anti Lompat Parti yang telah dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

"Di Sabah, undang-undang anti lompat belum (dibentangkan dan dilaksanakan) ada. Tetapi jika kita menerima (budaya), halalkan lompat parti, adakah ia selaras di peringkat pusat?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 3:49 PM