Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah didaftarkan sebagai sebuah entiti politik yang rasmi.

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS Datuk Hajiji Noor berkata, pihaknya telah menerima sijil kelulusan permohonan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, kelmarin, selepas menghantar permohonan beberapa minggu sebelumnya.

Menurutnya, pendaftaran GRS merupakan respon pihaknya terhadap permintaan rakyat negeri ini yang ingin melihat GRS bergerak sebagai sebuah entiti politik rasmi.

"Pendaftaran ini dibuat sebagai menyahut permintaan rakyat yang ingin melihat GRS sebagai satu entiti politik sah dan rasmi sebagai badan gabungan parti yang ada di Sabah.

"Hasrat kita ialah untuk melihat negeri Sabah terus makmur dengan perpaduan serta kestabilan yang dapat mendorong agenda pembangunan kita.

"Tiada masa yang lebih sesuai selain sekarang ini. Marilah kita hapuskan politik negatif dan remeh-temeh.

"Berbekalkan sumber dan kekuatan, marilah kita bersama untuk menjunjung mandat yang rakyat telah berikan kepada kita untuk kemakmuran Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji bersama Peter Anthony dan barisan Ahli Majlis Tertinggi parti mengangkat tangan selepas melancarkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Hajiji bersama Peter Anthony dan barisan Ahli Majlis Tertinggi parti mengangkat tangan selepas melancarkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ

Turut hadir Presiden KDM Datuk Peter Anthony dan Timbalan Presiden KDM Datuk Juil Nuatim.

Dalam pada itu, Hajiji ketika ditanya pemberita berhubung penubuhan KDM sebagai parti yang mesra GRS, beliau berkata, pihaknya menyambut baik hasrat berkenaan.

"Kami mengalu-alukan minat dan hasrat parti KDM untuk bersama-sama dengan GRS. Saya akan membawa permohonan ini untuk pertimbangan dan persetujuan rakan komponen GRS," katanya.

Sementara itu, Peter berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan entiti politik terbabit ketika ditanya pemberita berhubung permohonan partinya untuk memasuki GRS.

"Terpulang kepada Pengerusi GRS yang akan menentukan kedudukan kita nanti. Surat permohonan untuk memasuki GRS telah kita serahkan.

"Sudah sampai masanya pergolakan politik di antara parti di peringkat negeri Sabah ini perlu kita hentikan. Tidak guna kita bergaduh sedangkan kedudukan Sabah ini dapat kita majukan.

"Adalah lebih baik kita bersatu tanpa mengira perbezaan politik dan kedudukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 4:31 PM