Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan semasa hadir pada Sambutan Setahun Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI dan Perhimpunan Bulanan KDN hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan semasa hadir pada Sambutan Setahun Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI dan Perhimpunan Bulanan KDN hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) perlu bertindak tegas terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang gagal menghantar laporan kewangan tahunan bagi memastikan kepatuhan NGO terhadap undang-undang pertubuhan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Akta Pertubuhan 1966 memberi kuasa kepada ROS antara lain menerima permohonan pendaftaran sesuatu pertubuhan, memberi kelulusan serta memastikan sesebuah pertubuhan itu bergerak sesuai dengan undang-undang.

Beliau berkata ROS perlu melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala terhadap pertubuhan berdaftar supaya insiden melibatkan sebuah NGO dibekukan akaun ekoran dakwaan wang sumbangan orang ramai untuk membantu rakyat Palestin disalah guna, tidak berulang.

"Setiap laporan dihantar NGO mesti diteliti dengan kemas bagi menghalang wujudnya pertubuhan yang berdaftar tetapi aktiviti dilakukan tidak seperti mana yang dinyatakan dalam undang-undang pertubuhan," katanya dalam sidang media selepas Sambutan Setahun KDN Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan SPRM memulakan siasatan ke atas Aman Palestin Bhd berhubung aktiviti pengumpulan derma oleh NGO tersebut untuk rakyat Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 4:48 PM