Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan tangga gaji permulaan anggota polis berpangkat konstabel berada di bawah paras pelaksanaan gaji minimum RM1,500 iaitu RM1,441.

Razarudin berkata, disebabkan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada Jabatan Perkhdimatan Awam (JPA) supaya skim gaji permulaan bagi Konstable (YA1) diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.

Menurutnya, cadangan berkenaan dibuat selepas mengambil kira peningkatan kos sara hidup khususnya bagi anggota pangkat rendah.

"Buat masa ini, bagi anggota berpangkat Konstabel baharu yang keluar (tamat latihan), gaji mereka RM1,441.

"Memandangkan dasar kerajaan mengenai pelaksanaan gaji minimum RM1,500, kita (PDRM) mohon supaya dasar gaji minimum ini dilaksanakan kepada konstabel (YA1)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian WCB/PSK Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali; Timbalan Pengarah KDNKA (WCB/PSK), Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari dan Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Menurutnya, pada masa sama, pihaknya turut mencadangkan kenaikan 30 peratus daripada kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) atau pemberian satu KGT secara 'one off' kepada semua peringkat skim gaji PDRM.

"Kadar Bantuan Sara Hidup (Cola) yang diterima pegawai dan anggota berbeza mengikut kategori iaitu bandar, pinggir bandar dan luar bandar iaitu masing-masing RM300 bagi pegawai dan anggota pangkat rendah di kawasan bandar.

"Manakala, masing-masing RM200 dan RM250 bagi pegawai dan anggota di pinggir bandar; sementara RM100 dan RM150 bagi pegawai dan anggota yang bertugas di luar bandar," katanya.

Pada 6 Julai lalu, media melaporkan PDRM sedang berusaha mengkaji semula tangga gaji pegawai dan anggota dalam pasukan keselamatan utama negara itu yang masih di peringkat perbincangan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), dalam usaha meningkatkan tahap integriti pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 1:50 PM
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (kanan) beramah mesra bersama pegawai dan anggota polis pada Majlis Perasmian Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WSB/PSK), Jabatan KDNKA Polis Diraja Malaysia di Lapang Sasar 600, Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta. FOTO L. MANIMARAN
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (kanan) beramah mesra bersama pegawai dan anggota polis pada Majlis Perasmian Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WSB/PSK), Jabatan KDNKA Polis Diraja Malaysia di Lapang Sasar 600, Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta. FOTO L. MANIMARAN