SHAMSUL Anuar
SHAMSUL Anuar
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui gaji dan elaun sara hidup anggota polis masih di tahap rendah dengan kadar itu tidak memadai khususnya bagi petugas yang menetap di bandar besar.

Sehubungan itu, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata selaras dengan usaha Kerajaan Madani melakukan penstrukturan gaji dan elaun membabitkan semua anggota perkhidmatan awam, kajian akan turut membabitkan emolumen diterima anggota polis.

"Kerajaan dan KDN sedang dalam pelaksanaan kajian sistem saraan perkhidmatan awam, ini termasuk bagi anggota polis. Ia turut meliputi kajian berkaitan elaun sara hidup membabitkan semua anggota di bawah KDN (termasuk anggota polis).

"Buat masa ini,sebagai contoh, elaun sara hidup (anggota polis) diberi mengikut lokasi penempatan mereka, iaitu pada kadar RM200 hingga RM350 sebulan.

"Kerajaan sedar kadar ini rendah dibanding kos hidup semakin tinggi terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.Maka kementerian telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menilai aspek ini," katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu apakah tindakan KDN dalam usaha menaikkan kadar elaun sara hidup anggota polis yang disifatkan sebagai masih rendah, terutama bagi yang menetap di kawasan bandar.

Menjawab soalan asal Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai kesediaan kerajaan mempertimbangkan kadar gaji baharu utnuk anggota polis mengambil kira ia tidak kompetitif dengan keadaan ekonomi semasa, jelasnya, gaji pokok diterima anggota polis tidak statik, sebaliknya akan sentiasa dikaji.

"Ia tidak statik kerana KDN akan sentiasa mengkaji dan anggota akan terima pergerakan gaji tahunan apabila genap setiap tahun perkhidmatan.

"Emolumen merangkumi gaji pokok, imbuhan tetap dan elaun lain diberikan berdasarkan penugasan , kepakaran dan risiko tugas yang jumlah keseluruhannya melebihi paras gaji minimum sebanyak RM1,500 yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Memberikan contoh, katanya emolumen diterima pegawai rendah polis berpangkat Konstabel YA1, gaji pokok mereka adalah RM1,441, tidak termasuk elaun.

"Mereka turut menerima imbuhan tetap perumahan iaitu RM300, imbuhan tetap perkhidmatan awam (RM115), imbuhan sara hidup sebanyak RM350, bayaran insentif perkhidmatan (RM200), dan gaji kasar adalah RM2,404.

"Kenaikan gaji tahunan gred YA1 ialah RM105. Jumlah gaji kasar tak termasuk elaun mengikut bidang penugasan dan penempatan anggota berkenan," katanya.

Beliau turut memberitahu, sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 27 bayaran insentif dan eluan dinikmati anggota PDRM.

Antara insentif berasingan yang diterima mengikut bidang penugasan adalah bagi pemusnah bom, insentif pertukangan, insentif khas juruterbang dan penyelenggara kapal berlesen.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 12:41 PM