MURID Sekolah Kebangsaan Tok Jembal memakai topeng muka berikutan jerebu yang melanda. Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar Kuala Terengganu pada tahap tidak sihat dengan bacaan 145 setakat 3.00pm.  FOTO Ghazali Kori
MURID Sekolah Kebangsaan Tok Jembal memakai topeng muka berikutan jerebu yang melanda. Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar Kuala Terengganu pada tahap tidak sihat dengan bacaan 145 setakat 3.00pm. FOTO Ghazali Kori
Mohd Aizat Shamsuddin


JEREBU mula melanda beberapa daerah di Terengganu apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan bacaan tidak sihat sejak pagi hari ini.

Menerusi laman web Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU di Kemaman mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 149 manakala Kuala Terengganu (146) dan Paka (130).

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, Kuala Terengganu, mendapati murid turut memakai topeng muka sebagai langkah membendung risiko kesihatan.

Penolong Kanan Pentadbiran SK Tok Jembal, Saiful Bahari Sidek berkata, pihak sekolah sudah pun menghentikan aktiviti luar bilik darjah pagi hari ini.

“Persekolahan berjalan seperti biasa hari ini walaupun IPU mencatatkan bacaan tidak sihat dan sekolah hanya akan ditutup sekiranya bacaan melebihi 200.

“Namun apabila IPU mencatat bacaan tidak sihat, pihak sekolah mengambil maklum untuk mengehadkan aktiviti luar dan menggantikan dengan aktiviti dalam kelas.

“Selain itu, murid juga digalakkan supaya sentiasa memakai topeng muka ketika berada di luar kelas mengelakkan risiko kesihatan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 4:57 PM