FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

PASUKAN Polis Marin (PPM) menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dan merampas pelbagai jenis arak dalam serbuan ke atas stor penyimpanan barang lusuh di Pelabuhan Klang hari ini.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, dalam serbuan 12.30 tengah hari di Taman Klang Ria itu, pihaknya merampas 7,368 tin, 240 botol dan 1,446 drum berkapasiti lima liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM302,377.83.

“Serbuan dijalankan susulan penahanan lelaki berusia 26 tahun yang memandu sebuah van mengandungi minuman keras pelbagai jenama di Jalan Sungai Jati, Sentosa di sini.

“Ketika ditahan pemandu itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan minuman keras yang dibawanya,” katanya hari ini.

Rosman berkata, siasatan terhadap pemandu van itu membawa pihaknya ke sebuah stor penyimpanan barangan lusuh sebelum menemui pelbagai minuman keras.

Beliau berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas sebuah lori jenis Hino berisi muatan minuman keras yang ditemui dalam stor berkenaan.

Katanya, antara minuman keras yang dirampas termasuk jenama Heineken, Skol Super Strong, King Fisher, Bullet serta Guinness Stout.

“Nilai keseluruhan rampasan minuman keras bersama kenderaan RM412,277.83 termasuk cukai.

“Kita juga menahan tiga pekerja warga Indonesia berusia 20 hingga 35 tahun yang tidak mempunyai dokumen sah,” katanya.

Rosman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dalang utama sindiket itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 8:56 PM