SINDIKET menjadikan premis kedai untuk meyimpan minuman keras sebelum dijual di sekitar Sentul. FOTO Ihsan PDRM
SINDIKET menjadikan premis kedai untuk meyimpan minuman keras sebelum dijual di sekitar Sentul. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Rahsia sebuah kedai di Jalan Ipoh, Sentul di sini yang dijadikan stor simpanan arak seludup terbongkar selepas diserbu polis kelmarin yang menyaksikan pelbagai jenis minuman keras disyaki diseludup dari luar negara dengan nilai cukai RM861,924 dirampas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan jam 1.55 petang bersama Pasukan Gerakan Am (PGA)ٍ Semenyih itu turut menahan dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing dipercayai berperanan sebagai penghantar atau 'transporter'.

Katanya, sebanyak 14,832 botol minuman keras pelbagai jenama dan 7,464 tin bir dipercayai barang tidak berkastam dirampas.

"Siasatan awal percaya premis berkenaan beroperasi sejak enam bulan lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Eng lai berkata, minuman keras berkenaan dipercayai untuk dijual di kedai-kedai di sekitar Sentul.

Katanya, dalang di sebalik sindiket terbabit sudah dikenal pasti dan kerja-kerja mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Kesemua suspek direman 10 hari bermula 26 Mac sehingga 4 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau mengedar minuman keras seludup dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 11:45 AM