Zazuli (dua dari kanan)  menunjukkan arak tiruan yang dirampas. FOTO Samadi Ahmad
Zazuli (dua dari kanan) menunjukkan arak tiruan yang dirampas. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah melumpuhkan sindiket memproses arak tiruan dan menahan empat warga asing di sebuah kilang di Batu Arang, Selangor, 21 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata, empat suspek yang ditahan itu membabitkan tiga warga Bangladesh dan seorang warga Kemboja yang tidak mempunyai dokumentasi pengenalan diri berusia lingkungan 24 hingga 37 tahun.

Menurutnya, dalam serbuan itu JKDM menyita minuman keras pelbagai jenama luar negara tidak bereksais sebanyak 5,876 liter dianggarkan bernilai RM414,891 dengan jumlah duti RM462,105.

Katanya, JKDM turut menyita peralatan memproses minuman keras seperti mesin untuk memproses bahan mentah, tong berisi cecair disyaki alkohol, botol kosong, penutup botol, label minuman, kotak minuman keras dan setem cukai taksiran disyaki palsu dianggarkan bernilai RM50,000.

"Susulan serbuan pertama pada hari yang sama JKDM turut menyerbu sebuah gudang yang dijadikan tempat menyimpan arak pelbagai jenama tidak bereksais di Puncak Alam, Selangor membabitkan barangan kes di kedua premis bernilai RM3.4 juta," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Anggaran keseluruhan minuman keras yang disita di gudang Puncak Alam adalah sebanyak 22,355 liter dianggarkan bernilai RM1 juta dengan anggaran jumlah cukai sebanyak RM1.4 juta.

Zazuli berkata, modus operandi kedua-dua kes ini adalah menjadikan gudang di kawasan perindustrian sebagai pusat memproses dan menyimpan minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran dengan harga rendah.

Menurutnya, sindiket itu sudah beroperasi melebihi enam bulan dan dikesan hasil maklumat orang awam dan risikan JKDM.

"Empat warga asing itu sudah didakwa di Mahkamah Seksyen Selayang pada 5 Ogos lalu dan siasatan masih berjalan bagi mengesan dalang sindiket berkenaan."

"Kes disiasat mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1967 dan Seksyen 5(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1967 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 6:48 PM