WANITA warga emas ditemui dalam keadaan lemah di kebun buah naga di Batu 18 Solok Limau Purut, Kampung Melekek Dalam Simpang Ampat. FOTO Ihsan PDRM
WANITA warga emas ditemui dalam keadaan lemah di kebun buah naga di Batu 18 Solok Limau Purut, Kampung Melekek Dalam Simpang Ampat. FOTO Ihsan PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak malam kelmarin ditemukan selamat dalam keadaan lemah dalam kebun buah naga di Kampung Melekek, Simpang Ampat, di sini, hari ini.

Laporan kehilangan mangsa dibuat anak lelakinya berusia 41 tahun di Balai Polis Simpang Ampat selepas mendapati pintu dapur rumahnya terbuka dan gagal mencari ibunya kira-kira 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, berdasarkan laporan, anak mangsa mendakwa ibunya berusia 84 tahun menghidap penyakit nyanyuk dan sering bercakap sendirian.

Menurutnya, keluarga cuba mencari wanita itu di sekitar rumah termasuk kebun kelapa sawit berhampiran dengan bantuan penduduk kampung dan khidmat pengamal perubatan tradisional, namun gagal sebelum membuat laporan polis.

"Susulan laporan itu, sepasukan 44 anggota polis, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), bomba dan Rela serta dibantu anjing pengesan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula 9 pagi tadi.

"Mangsa ditemui pasukan SAR kira-kira 10.20 pagi di sebuah kebun buah naga iaitu kira-kira tiga kilometer dari rumahnya dalam keadaan lemah," katanya.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 1:47 PM