ADLY (tiga dari kanan) meninjau kerja membaiki cerun Kampung Rantau Panjang, Alor Gajah, semalam.
ADLY (tiga dari kanan) meninjau kerja membaiki cerun Kampung Rantau Panjang, Alor Gajah, semalam.
Hassan Omar


ALOR GAJAH: Kerajaan negeri meminta Projek Lebuhraya Utara-Selatan Bhd (PLUS) membantu melebarkan jalan di bawah jambatan lebuh raya di Simpang Ampat, Alor Gajah, berikutan kesesakan lalu lintas yang teruk sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, PLUS diminta mengubah suai jambatan sedia ada yang menjadi laluan Seremban-Ayer Keroh bagi membolehkan jalan dua lorong dua hala di bawah jambatan berkenaan dilebarkan menjadi empat lorong dua hala.

Katanya, kerja itu penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutama pada hujung minggu berikutan peningkatan jumlah kenderaan ke negeri ini melalui Plaza Tol Simpang Ampat.

“PLUS boleh melakukan kerja itu bagi membantu kerajaan negeri melaksanakan sistem penyuraian trafik di kawasan berkenaan kerana kenderaan masuk melalui tol menuju ke bandar Alor Gajah melalui jalan empat lorong dua hala.

“Bagaimanapun, laluan itu mengecil menjadi dua lorong dua hala di bawah jambatan dan kajian Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati 920 kenderaan memasuki bandar melalui tol itu, waktu pagi manakala dari Kendong, Negeri Sembilan pula 300 (kenderaan) pada waktu sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Dewan Undangan Negeri Taboh Naning, di sini, kelmarin.

CERUN  di Kampung Rantau Panjang, Alor Gajah siap selepas kerja pembaikan.
CERUN di Kampung Rantau Panjang, Alor Gajah siap selepas kerja pembaikan.

Hadir sama Penyelaras DUN itu, Zairi Suboh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Zamzuri Ariffin dan Jurutera Daerah Alor Gajah, Hafrin Salleh.

Dalam lawatan itu, Adly meninjau Kompleks Air Panas Kampung Cerana Putih, Kampung Orang Asli Bukit Payung, Projek Pembaikan Cerun di Kampung Rantau Panjang, Masjid Simpang Ampat dan tapak kedai Simpang Point.

Mengenai lawatan ke kampung orang Asli itu, Adly berkata, kerajaan negeri berusaha menyediakan dana membina dewan terbuka bagi memudahkan penduduk menjalankan pelbagai program dan persembahan kebudayaan untuk pelancong.

Beliau berkata kerajaan negeri memohon peruntukan RM7.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina masjid baru menggantikan Masjid Simpang Ampat sedia ada yang uzur dan tidak mampu menampung pertambahan jemaah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 6:00 AM