SAMPAH yang dibuang sesuka hati penduduk. FOTO  Nisaa Iryanie Azhar
SAMPAH yang dibuang sesuka hati penduduk. FOTO Nisaa Iryanie Azhar
Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Kes kematian remaja lelaki berusia 17 tahun akibat dihempap kerusi yang dibuang dari tingkat atas tidak pernah menyedarkan penduduk di Blok 100 Flat Sri Pantai, di sini, yang masih membuang sampah sesuka hati di penempatan itu.

Tinjauan Harian Metro mendapati bukan saja sampah dibuang sekeliling blok, malah jaring yang dipasang di tangga turut dijadikan tempat 'tadahan' sampah.

Jaring itu dipasang susulan kematian remaja pada 17 Januari 2018 lalu akibat ditimpa 'kerusi terbang' yang dibuang penduduk tidak bertanggungjawab.

Penduduk setempat, Roshaida Jakar, 46, turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap masalah sikap membuang sampah di kawasan itu.

"Kompaun dan surat amaran semua sudah dibuat tapi sifat ini perlu diubah sendiri bukan dipaksa orang lain.

"Masih ada sampah yang dibuang di kawasan sekitar lif dan kaki lima sehingga berbau dan mengganggu penduduk lain.

"Kadang saya terpaksa mengupah pencuci untuk membersihkan sampah penduduk lain itu," katanya.

Menurutnya, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan juga dilakukan tetapi jumlah penduduk yang menyertai sedikit dan muka sama saja.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Sri Pantai, Mohamed Talib, 60, pula berkata, penduduk juga tidak mengendahkan teguran yang diberikan.

"Saya sebagai pengerusi hanya mampu menegur dan membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

MOHAMED menunjukkan sampah yang dibuang penduduk tidak bertanggungjawab. FOTO  Nisaa Iryanie Azhar
MOHAMED menunjukkan sampah yang dibuang penduduk tidak bertanggungjawab. FOTO Nisaa Iryanie Azhar

"Teguran dan nasihat sudah diberikan tapi mereka tetap tidak dengar, jika saya melebih-lebih nanti penduduk benci, saya juga yang kena.

"Undang-undang dan tindakan yang lebih keras perlu dilakukan supaya mereka akur dan takut untuk membuat sampah sesuka hati," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Pangsapuri Putra Ria, Mohd Dom Ujang, 60, berkata, inisiatif persatuan menegur dan memulangkan sampah yang tinggalkan penduduk.

"Kadang kala mereka tinggal sampah di aras lain tapi jika kami dapat tahu siapa yang membuangnya, kami akan hantar semula di hadapan rumah.

"Itu salah satu cara untuk kami 'mengajar' mereka supaya bertanggung jawab dengan sampah sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 8:37 PM