JEMAAH melontar di salah satu jamrah. FOTO Saudi Gazette
JEMAAH melontar di salah satu jamrah. FOTO Saudi Gazette
Agensi

Makkah: Jemaah haji melakukan ibadah melontar di tiga jamrah yang melambangkan lontaran batu ke arah syaitan, kelmarin iaitu hari pertama Tasyrik dan hari keempat ibadah haji.

Dengan memakai pelitup muka dan berpakaian biasa selepas keluar daripada ihram Selasa lalu, jemaah bergerak secara berkumpulan dengan teratur dan lancar sambil menjaga penjarakan fizikal.

Setibanya mereka di jamrah, jemaah melaungkan Allahuakbar melontar batu pertama di Jamrah Al-Sughra (tiang kecil), kemudian di Jamrah Al-Wusta (tiang sederhana) dan yang terakhir di Jamrah Al-Aqaba (tiang terbesar), masing-masing sebanyak tujuh kali.

Memetik laporan portal Saudi Gazette, jemaah bergerak dengan mudah dan selesa dari satu tiang ke tiang lain ketika melontar.

Mereka berdoa selepas melontar dua tiang pertama dan berhenti dengan cepat selepas melontar di jamrah ketiga, mengikuti tradisi Nabi Muhammad SAW.

Selaras dengan protokol pencegahan Covid-19 pada musim haji kali ini, 60,000 jemaah haji tempatan termasuk lelaki dan wanita dari 150 negara bertolak dari penginapan mereka ke tempat melontar petang semalam.

Ritual itu bermula pada Selasa dengan hanya menggunakan batu di Jamrah Al-Aqaba.

Pasukan keselamatan dan pekerja kesihatan dikerahkan di Kompleks Jamrah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah serta kelancaran ibadah.

Melontar di jamrah adalah ibadah haji yang berulang. Jemaah melakukan ibadah melontar di satu Jamrah (Jamrah Al-Aqaba) pada hari pertama melontar, iaitu 10 Zulhijjah.

Dalam dua atau tiga hari berikutnya, mereka melontar tujuh batu masing-masing di ketiga-tiga tiang.

Struktur kompleks melontar setinggi lima tingkat memudahkan ibadah melontar dengan pergerakan jemaah yang dibenarkan bergerak satu arah untuk mengelakkan kesesakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 7:00 AM