Noorazura Abdul Rahman


Baling: Kerja pembersihan lebih 100 rumah mangsa banjir di Kampung Iboi, di sini sukar dilaksana apabila bekalan air masyarakat yang diguna sejak 40 tahun lalu turut terjejas.

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kariah Iboi, Malik Arshad berkata, biarpun memasuki hari ketiga, kerja pembersihan masih tergendala hingga ada yang mengepam air dari sungai.

Katanya, terdapat 500 rumah bergantung bekalan air jenis itu dengan separuh daripada kediaman itu dimasuki air banjir.

"Banyak paip yang rosak dan pecah akibat arus deras kali ini, yang menyebabkan bekalan air terputus.

"Bekalan air daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) pula sangat perlahan dan ada yang tiada langsung, menyebabkan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tak boleh balik cuci rumah sampai hari ini," katanya.

Malik berkata, kerja-kerja baik pulih paip yang rosak kini sedang dilakukan mengikut kemampuan disebabkan kekurangan dana.

"Keadaan paip yang usang dan sudah lama juga antara faktor kerosakan lebih-lebih lagi apabila banjir berlaku.

"Kalau nak ikutkan memang tiada dana kerana kutipan hanya RM3 sebulan bagi setiap rumah. Jadi kami baiki mana yang utama dahulu disebabkan keperluan mendesak sehari dua ini," katanya yang berharap bekalan air itu pulih pada Jumaat.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya sudah menggerakkan khidmat sukarelawan untuk membersihkan rumah mangsa menggunakan sumber air agensi lain.

"Setakat ini kita gunakan air daripada lori bomba, pihak Majlis Daerah Baling dan juga sedut air dari sungai. Kita akan pastikan rumah bersih sebelum mangsa pulang," katanya.

Untuk rekod, 579 mangsa (155 keluarga) masih ditempatkan di empat PPS iaitu SK Iboi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, SK Sungai Keda dan Surau Annur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 5:25 PM
Kesan banjir lumpur di Kampung Iboi yang sukar dibersihkan selepas bekalan air masyarakat turut terjejas. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Kesan banjir lumpur di Kampung Iboi yang sukar dibersihkan selepas bekalan air masyarakat turut terjejas. FOTO Noorazura Abdul Rahman