Zuliaty Zulkiffli


Baling: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini menurun kepada 495 orang daripada 109 keluarga setakat 9.30 pagi, hari ini berbanding 1,455 mangsa daripada 109 keluarga semalam.

Banjir itu membabitkan 12 kampung iaitu Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai adalah 159 mangsa daripada 50 keluarga.

"Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Surau An Nur adalah 258 mangsa daripada 59 keluarga," katanya.

Katanya, kebanyakan penduduk sudah pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan rumah mereka berikutan air surut.

"Sementara itu jumlah mangsa banjir di PPS SMK Agama Al Khiriah adalah 78 mangsa yang terdiri daripada 32 pelajar perempuan serta 46 pelajar lelaki.

"Kebanyakan pelajar sekolah terbabit sudah diambil keluarga masing-masing," katanya.

Dalam kejadian kelmarin, hujan hampir tiga jam menyebabkan beberapa tempat di daerah ini dinaiki air.

Kejadian kepala air itu turut mengorbankan tiga sekeluarga dan menyebabkan sebahagian besar rumah penduduk di 12 kampung terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 10:38 AM
Sebahagian mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Jerai di Kampung Iboi selepas dilanda banjir lumpur kelmarin. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sebahagian mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Jerai di Kampung Iboi selepas dilanda banjir lumpur kelmarin. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR