KEADAAN Ismail sebelum menjalani pembedahan memotong tangan kali kedua di HSNI. FOTO Alias Abd Rani.
KEADAAN Ismail sebelum menjalani pembedahan memotong tangan kali kedua di HSNI. FOTO Alias Abd Rani.
Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Selepas dipindahkan ke wad biasa, ayah hanya berdiam diri sambil menitis air mata melihat sebelah tangannya sudah tiada," kata Mohd Zakie Ismail, 40, anak kepada Ismail Selamat, 69, yang hilang tangan kanan selepas digilis lori, Khamis lalu.

Tangan kanan Ismail terpaksa dipotong buat kali kedua hingga paras siku susulan pasukan perubatan mendapati berlaku komplikasi daripada pembedahan pertama.

Menurut Mohd Zakie, pembedahan pertama dibuat selama enam jam namun semalam, pihak hospital menjalankan pemeriksaan mendapati pembedahan kedua perlu dilakukan kerana ada jangkitan kuman.

"Doktor memaklumkan, berlaku komplikasi pada luka pembedahan pertama dan meminta kebenaran kami untuk memotong sehingga paras siku.

"Pagi semalam, ayah dimasukkan ke bilik pembedahan di HSNI (Hospital Sultanah Nora Ismail) untuk memotong tangan hingga paras siku selepas sebahagian kulit dan daging mati dan rosak akibat saraf hancur.

"Kami reda andai ini takdirnya, sedih dan syukur berbaur dalam hati. Kami perlu belajar menerima ujian Allah ini walaupun terlalu berat untuk menghadapinya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Ditanya mengenai keadaan bapanya selepas kejadian itu, Mohd Zakie berkata, bapanya masih dalam proses pemulihan ditambah pula keadaannya yang kehilangan sebelah tangan.

Katanya, dia bersama adik beradik lain sentiasa memberi sokongan memandangkan pada waktu ini, bapanya banyak berdiam diri apabila melihat keadaannya sekarang.

"Buat masa sekarang, kami sekeluarga akan memberi semangat, bapa pun tidur tak lena dan mungkin disebabkan masih trauma dengan kemalangan berlaku.

Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, sebelah tangan Ismail gagal diselamatkan dan terpaksa dipotong selepas hancur digilis lori jenis tipper.

Kejadian berlaku ketika warga emas terbabit menunggang motosikal ke sebuah pasaraya untuk membeli barang dapur, sebelum bergesel dengan lori.

Akibatnya, Ismail terjatuh dan tangan kanannya hancur digilis tayar lori manakala topi keledar dipakainya pecah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 3:40 PM