Mira Nazira menunjukkan gambar arwah emaknya yang maut selepas digilis lori kontena. FOTO Alias Abd Rani
Mira Nazira menunjukkan gambar arwah emaknya yang maut selepas digilis lori kontena. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Seorang lelaki sempat mengajar ibu mentuanya mengucap sebelum wanita itu menghembus nafas selepas digilis lori kontena dalam kemalangan di hadapan kilang biskut, di Kilometer 15, Jalan Yong Peng-Muar berdekatan Tongkang Pechah, di sini petang semalam.

Hanitah Jais, 57, dilaporkan terjatuh selepas motosikal ditunggang dipercayai terlanggar sebuah kenderaan ketika sedang menunggu lampu isyarat hijau sekitar jam 7 petang.

Menantunya, Airis Mukri, 39, yang kebetulan bersama arwah namun menunggang motosikal berlainan, segera mendakap ibu mentuanya itu.

Menceritakan kejadian itu, anak sulung arwah, Mira Nazira Mohd Nazri, 32, berkata ketika itu suami mengajar emak supaya mengucap selepas melihatkan keadaannya yang mengerikan.

"Selepas digilis lori kontena itu, kaki kiri arwah hancur hingga paras pinggul manakala kaki kanan turut cedera.

"Arwah dalam keadaan parah namun masih bernyawa ketika itu. Suami tidak putus-putus mengajar mengucap sebelum ketibaan ambulans di lokasi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah, hari ini.

Menurutnya, ibunya disahkan meninggal dunia selepas kira-kira setengah jam menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), malam tadi.

"Arwah sudah 20 tahun bekerja di kilang itu bersama suami. Tiga hari sebelum kejadian arwah lebih banyak berdiam diri berbanding hari kebiasaan.

"Saya cuma risau melihat keadaan adik, Puteri Najiha yang masih bersedih dan tidak boleh menerima kenyataan emak sudah tiada. Dia antara yang paling rapat malah kerap bersama ke mana mereka pergi," katanya.

Dalam pada itu, Mira Nazira reda dengan kejadian itu namun merayu sesiapa yang mempunyai kamera papan pemuka (dashcam) dapat membantunya melihat kejadian sebenar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa bekerja operator kilang menunggang skuter dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Apabila tiba di lampu isyarat Bukit Belah, motosikal mangsa dipercayai terlanggar Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 32 tahun yang ketika itu berhenti di lorong kanan kerana lampu isyarat merah.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di lorong kiri jalan, pada sama datang sebuah lori dipandu lelaki warganegara berusia 41 tahun menggilis kakinya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi awam melihat kejadian itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 07-4327704," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 4:49 PM