MASHITAH menunjukkan kayu balak yang hanyut ke rumah mereka akibat banjir kilat. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar
MASHITAH menunjukkan kayu balak yang hanyut ke rumah mereka akibat banjir kilat. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar
Noorazura Abdul Rahman

Baling: Penduduk Kampung Bukit Iboi di sini, tidak menyangka kejadian banjir kilat malam tadi, hampir sama dengan kejadian banjir puing 4 Julai tahun lalu apabila ia turut menghanyutkan kayu balak ke rumah mereka.

"Banjir kilat malam tadi menyebabkan kayu balak hanyut ke kawasan rumah yang mana sebatang termasuk ke garaj kereta manakala sebatang lagi di belakang rumah.

"Syukur kerana banjir kilat surut jam 11 malam, jika hujan berterusan, saya bimbang rumah kami ditenggelami air," kata penduduk, Mashitah Ahmad.

Mashitah, 49, berkata, hujan mula melanda jam 6.30 petang semalam, namun sebelum itu, penduduk sudah maklum berkaitan hujan yang melanda Gunung Inas, jam 4 petang.

"Jadi, kami mula mengemas dan mengangkat barang di tempat tinggi. Kira-kira jam 7.30 malam, air Sungai Kupang melimpah," katanya.

Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) itu berkata, mereka sekeluarga juga bersyukur kerana kerajaan sudah melakukan proses mendalamkan sungai selepas kejadian banjir puing 4 Julai tahun lalu.

Ini kerana, jika tidak, mungkin kampung berkenaan berdepan musibah lebih besar.

Mashitah berkata, keluarganya kerugian kira-kira RM7,500 apabila 15 daripada 100 sarang madu kelulut diusahakan suaminya, Rosni Said, 54, dihanyutkan air.

Seorang lagi penduduk, Mohd Dahari Abdul Latef, 65, berkata, dia berharap kerajaan dapat melakukan kerja baik pulih hakisan tebing sungai dengan segera.

"Sekarang ini musim hujan, saya bimbang banjir akan melanda. Rumah kami ini sudah banyak kali dinaiki air sejak kejadian banjir puing tahun lalu.

"Kami sudah penat membersihkan lumpur di dalam rumah," katanya.

Tiga kampung terbabit dalam banjir kikat malam tadi iaitu Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi dan Kampung Empang dengan 283 individu daripada 124 keluarga dipindahkan.

Mereka dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai dan SK Kampung Keda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 3:06 PM