Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan tiada undang-undang yang dikenakan bagi melarang pemakaian seluar pendek dan pengambilan alkohol di Langkawi. FOTO AHMAD MUKHSEIN MUKHTAR
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan tiada undang-undang yang dikenakan bagi melarang pemakaian seluar pendek dan pengambilan alkohol di Langkawi. FOTO AHMAD MUKHSEIN MUKHTAR
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan bahawa terdapat larangan terhadap pelancong bukan Islam untuk memakai seluar pendek serta mengambil minuman keras di Langkawi.

Menurutnya, beliau tidak faham mengapa isu itu perlu dibangkitkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing sedangkan portfolio dipegangnya memerlukan beliau untuk melonjakkan lagi industri pelancongan termasuk di pulau lagenda berkenaan .

"Tak tahulah kenapa isu ini dibangkitkan, mungkin ada orang 'cucuk' beliau agaknya. Saya bukan nak gaduh dengan menteri tetapi beliau seharusnya datang tengok sendiri dan bukannya dengar cakap orang lain semata-mata.

"Menteri itu boleh 'mai' Langkawi pakai seluar pendek sebab beliau bukan Islam dan tak ada siapa melarang pun.

"Sesiapa kalau agama mereka benarkan, pakailah tetapi tak bolehlah pakai sesuatu yang menjolok mata atau berbogel di pantai kerana itu tak sesuai dengan budaya kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Baru-baru ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris memetik kenyataan King Sing berhubung perkara itu di Parlimen yang mendakwa terdapat dalam kalangan pelancong mengadu kepada Kementerian Pelancongan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kerajaan tertentu di Langkawi.

Menurut laporan akhbar berkenaan, King Sing dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa beberapa pegawai kerajaan dikatakan mengganggu pelancong mengenai etika berpakaian dan pengambilan alkohol.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, tindakan King Sing membangkitkan isu terbabit seolah-olah menongkah arus dan boleh menjejaskan industri pelancongan di pulau berkenaan.

"Beliau jaga pelancongan tetapi apabila isu itu dibangkitkannya, itu akan jejaskan pelancongan. Beliau sudah buat kerja menongkah arus sedangkan perkara itu tak berlaku.

"Itu bukan kerja Kementerian Pelancongan. Seeloknya beliau 'mai' tengok di Langkawi ini dan itulah kerja yang patut dilakukan, bukan 'pi' jerkah kastam dan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu.

"Hat tu bukan kerja pelancongan, elok mai tengok Langkawi, nak pakai seluar pendek seluar panjang mana pun ikut suka dia, kalau ada saiz la, kita dah buat paling baik dah untuk pelancongan bukan saja di Langkawi tapi juga di tanah besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 4:55 PM