SETAKAT ini diunjurkan seramai 200,000 pelancong akan memasuki Langkawi menjelang penghujung 2021. FOTO AFP
SETAKAT ini diunjurkan seramai 200,000 pelancong akan memasuki Langkawi menjelang penghujung 2021. FOTO AFP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Tiada kes jangkitan Covid-19 membabitkan pelancong domestik di Langkawi dikesan selepas lima hari pulau peranginan itu dibuka menerusi projek rintis gelembung pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, sehingga kini penularan Covid-19 hanya membabitkan penduduk tempatan sahaja.

"Keadaan ini membuktikan kejayaan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah projek rintis berkenaan. Tiada kes membabitkan kedatangan pelancong domestik.

"Ini kerana kerajaan sudah menggariskan SOP yang baik di bawah projek gelembung pelancongan. Saringan ujian Covid-19 dibuat di lokasi-lokasi pelepasan sebelum ke Langkawi turut membantu menghalang individu yang positif daripada memasuki Langkawi" katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azhar Ibrahim (PAS- Ayer Hitam) mengenai kesan pelaksanaan SOP kepada pelancong dalam sektor pelancongan di Langkawi dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mohd Firdaus, berkata setakat ini diunjurkan seramai 200,000 pelancong akan memasuki Langkawi menjelang penghujung 2021.

Katanya, Kementerian Pelancongan juga telah mengumumkan bahawa sektor-sektor pelancongan lain akan mula dibuka pada 1 Oktober ini selepas melihat perkembangan yang positif di Langkawi.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus, berkata pembukaan Jeti Kuala Kedah yang menjadi antara laluan utama ke Langkawi esok diyakini mampu mendatangkan kesan positif kepada penduduk setempat terutamanya golongan peniaga.

"Ketika jeti ini ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini, kesannya memang terasa kerana para pelancong terpaksa 'dilencongkan' ke Kuala Perlis untuk menaiki feri ke Langkawi.

"Insya-Allah apabila jeti itu kembali dibuka esok, kita akan melihat rakyat di Kuala Kedah dapat turut menikmati kesan pembukaan Langkawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 2:56 PM