Oleh Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kira-kira 1,000 penduduk beratur kira-kira satu jam untuk membeli beras tempatan 10 kilogram yang dijual pada harga RM26 sekampit di pusat jualan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kuala Terengganu di Kampung Bukit Bayas, di sini, hari ini.

Tinjauan mendapati penduduk termasuk dari daerah Marang dan Kuala Nerus terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan kupon pembelian beras.

Walaupun penjualan beras oleh LPP bermula jam 8 pagi, tetapi penduduk mula menyerbu pusat jualan itu seawal jam 6.45 pagi.

Ada antara penduduk yang lewat hadir terpaksa pulang hampa apabila beras berjumlah 6.5 tan metrik habis dijual dalam tempoh kira-kira satu jam.

Suri rumah, Suraya Ali, 57, dari Wakaf Tapai, Marang berkata, dia terpaksa ke pusat jualan itu untuk membeli beras tempatan selepas beberapa pasar raya di daerah berkenaan hanya menjual beras import.

"Saya dapati orang ramai sudah mula beratur panjang untuk mendapatkan kupon pembelian beras sebaik saya tiba di pusat jualan pada jam 7.30 pagi.

"Walaupun hanya dibenarkan membeli satu kampit beras mengandungi 10 kilogram, tetapi saya bersyukur kerana berjaya memperoleh bekalan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Idris Che Mad, 65, dari Kampung Laut, Chendering mencadangkan kepada kerajaan agar beras tempatan turut diedarkan ke pasar raya dan dijual secara menyeluruh.

"Walaupun saya memperoleh bekalan beras tempatan selepas hampir 20 minit beratur, tetapi penjualan bahan itu harus dijual secara menyeluruh dan bukannya hanya di pusat jualan LPP," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Perniagaan Tani Pertubuhan Peladang Kuala Terengganu Muhamad Nazri Zali berkata, pihaknya menerima bekalan beras tempatan sebanyak 6.5 tan metrik itu, kelmarin.

Menurutnya, penjualan beras tempatan secara terus kepada penduduk akan diadakan lagi jika pihaknya memperoleh bekalan.

"Kita tidak boleh berjanji tarikh jualan akan datang, jika terima bekalan kita akan maklumkan kepada orang ramai melalui laman sosial termasuk Facebook," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 2:16 PM