GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan meningkatkan jumlah jualan beras putih tempatan sebanyak dua kali ganda kepada orang ramai di 35 outlet pada minggu hadapan.

Pengerusinya Aminuddin Zulkipli berkata, peningkatan dua kali ganda itu adalah daripada 244 kepada 400 hingga 450 metrik tan beras putih tempatan.

"Kita akui semalam (penjualan) agak kurang teratur. Bagi pihak Fama, saya mohon maaf kepada semua yang terbabit.

"Daripada 35 outlet yang dibuat (penjualan) itu, hanya ada dua tempat yang berlaku sedikit kekecohan iaitu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Kuala Kurau, Perak.

"Untuk fasa seterusnya, kita akan tingkatkan jumlah kepada dua kali ganda daripada yang pernah kita bekalkan. Ini telah mendapat pengesahan dan kerjasama daripada pembekal," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai rungutan orang ramai yang mendapati penjualan beras tempatan tidak mencukupi.

Dilaporkan semalam, Pusat Operasi Fama Jelebu diserbu orang ramai seawal jam 8 pagi dan sebanyak 3,500 kilogram (kg) beras habis dijual dalam tempoh 90 minit.

Mengulas lanjut, Aminuddin menjelaskan, selain Fama, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan pasar raya turut terbabit dalam penjualan beras putih tempatan.

"Kalau ikutkan Fama adalah sebahagian daripada outlet lain termasuk LPP dan pasar raya dalam menguruskan perkara ini.

"Tapi kebetulan untuk pusingan pertama ini, Fama sahaja yang menyediakan. Jadi sudah tentulah orang ramai serbu ke Fama," katanya.

Menurutnya, untuk fasa seterusnya juga, pihaknya akan mengenalpasti jumlah penjualan di sesuatu tempat.

"Saya rasa kita kena kaji juga suasana tempat itu terlebih dulu. Kalau kita nampak ada keperluan meningkat, saya akan beri arahan bekalan di tempat tertentu dilebihkan.

"Pegawai-pegawai Fama daerah akan diminta untuk melaporkan supaya persediaan kuantiti itu boleh disesuaikan mengikut keadaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 5:32 PM