Azulita (kanan) meninjau jualan beras di Jualan Agro Madani Peringkat Jajahan Kota Bharu di Kompleks lslam Jubll Perak Sultan Ismail Petra, Panji. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Azulita (kanan) meninjau jualan beras di Jualan Agro Madani Peringkat Jajahan Kota Bharu di Kompleks lslam Jubll Perak Sultan Ismail Petra, Panji. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memberi jaminan bekalan beras putih tempatan mencukupi susulan beberapa kawasan penanaman di utara akan mula menuai tidak lama lagi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azulita Salim berkata, apabila dituai, padi diproses di kilang sebelum diedarkan ke pasaran.

Katanya, sehubungan itu pihaknya yakin bekalan beras putih tempatan mencukupi susulan rakyat mula beralih kepada beras berkenaan selepas kenaikan harga beras import.

"Cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan bekalan beras agak terhad. Namun tidak perlu dibimbangi kerana bekalan beras mencukupi dan kita berharap tidak berlaku pembelian panik dalam kalangan rakyat di negara ini.

"Apabila panik, rakyat mula membeli bekalan beras melebihi daripada yang sepatutnya dan itu yang menyebabkan salah satu berlakunya kekurangan bekalan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang selepas Perasmian Pelancaran Jualan Agro Madani Peringkat Jajahan Kota Bharu di Kompleks lslam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, sejumlah 700 tan metrik beras putih tempatan mula diedar ke seluruh Semenanjung sejak Jumaat lalu sebagai langkah awal intervensi dalam menangani permintaan bahan makan ruji negara itu.

Program khas pengedaran dan penjualan beras putih tempatan terus kepada pengguna akhir itu, akan dibuat melalui premis di bawah LPP dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di empat zon iaitu utara, tengah, selatan dan timur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 2:38 PM