GAMBAR fail pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh-Myanmar pada November 2017. FOTO Reuters
GAMBAR fail pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh-Myanmar pada November 2017. FOTO Reuters
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Selagi semua negara Asean tidak sepakat dalam mengambil tindakan terhadap Myanmar selagi itulah isu Rohingya tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas.

Dalam isu lambakan Rohingya di negara ini misalnya, Malaysia tidak boleh bersendirian sebaliknya memerlukan sokongan negara serantau bagi menangani isu itu.

Geostrategis merangkap Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan berkata, semua negara Asean perlu mencapai konsensus (kata sepakat) dalam mengambil tindakan terhadap Myanmar bagi membolehkan semua isu berkaitan Rohingya dapat diselesaikan.

Katanya, keputusan tidak mengundang Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing ke Sidang Kemuncak Asean sejak 2021 tidak mencukupi untuk memberi tekanan selagi negara serantau tidak sebulat suara mengambil tindakan keras terhadap Myanmar apatah lagi selepas tidak mematuhi Konsensus Lima Perkara.

"Setiap kali sidang kemuncak, Asean berbelah bahagi dalam isu Myanmar, malah semasa Sidang Kemuncak Asean ke-43 di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, keputusan secara sebulat suara itu juga tidak dapat dicapai untuk menghukum Myanmar.

"Sepatutnya, Asean perlu perkemaskan diri dulu supaya setiap cadangan mempunyai konsensus kerana ia adalah pegangan Asean," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas isu kebanjiran Rohingya di negara ini hingga memberi kesan negatif termasuk golongan itu dikesan menyalahgunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Beliau berkata, Asean perlu menyelesaikan sendiri masalah Myanmar tanpa perlu mendapatkan bantuan pihak antarabangsa.

"Sebelum meminta pertolongan antarabangsa, Asean perlu konsensus dalam setiap cadangan dan tindakan mereka terhadap junta.

"Kalau minta bantuan daripada kuasa besar misalnya, China atau Amerika Syarikat, mereka mempunyai agenda tertentu terhadap Myanmar dan mungkin tidak selari dengan kita," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Azmi berkata, dua faktor perlu diberi perhatian iaitu etnik itu selesa berada di Malaysia serta tiada kawalan dalam pengeluaran kad UNHCR.

"Tidak dinafikan, mereka selesa di negara kita, malah pengeluaran kad UNCHR sama ada secara sah atau tidak, kita tidak boleh menghalang atau mengawalnya.

"Jadi, selagi Malaysia menjadi tarikan kepada Rohingya dan tiada kawalan kad UNCHR selagi itu ia akan menjadi masalah.

"Ini kerana dengan kad itu mereka seolah-olah mendapat kekebalan daripada diambil tindakan untuk apa-apa kesalahan jadi inilah dilema Malaysia," katanya.

Semalam media melaporkan, sepasang suami isteri etnik Rohingya diberkas Jabatan Imigresen (JIM) Perlis selepas terbabit dalam pemalsuan surat pertimbangan UNHCR.

Malah, JIM Perlis juga turut menemui sijil pernikahan palsu yang digunakan etnik berkenaan dipercayai turut dikeluarkan sindiket itu.

Suspek yang berkhidmat sebagai guru pengajar al-Quran dan isterinya masing-masing berusia 30 dan 24 tahun dipercayai mendalangi kegiatan itu dengan berselindung di sebalik madrasah pengajian al-Quran di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat, sejak sekian lama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 12:40 PM