HAMZAH pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan oleh Menteri Dalam Negeri. FOTO BERNAMA
HAMZAH pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan oleh Menteri Dalam Negeri. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Pengeluaran kad pengesahan dan identifikasi status pemohon suaka di negara ini seharusnya dikeluarkan Kerajaan Malaysia dan bukan mana-mana pihak lain.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata, ia berikutan hanya ada satu badan di negara ini yang boleh mendaftarkan seseorang tinggal dengan sah iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata, ketika ini kerajaan sedang merancang mengeluarkan satu kad pengesahan status pelarian terhadap mana-mana individu yang memohon perlindungan di negara ini.

"Tiba-tiba (kenapa) ada pula orang lain yang membuat pendaftaran di negara kita ini?

"Saya nak maklumkan bahawa kita sedang mencari jalan untuk hanya menerima pengesahan kad dikeluarkan agensi bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)... bukan daripada mana-mana pihak yang mengaku bahawa ini adalah kad sah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Siapa nak pastikan? Malaysia yang patut memastikan sama ada orang itu sah boleh tinggal dengan kad yang kita boleh berikan," katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan oleh Menteri Dalam Negeri, di sini, tadi.

Pada April 2020, Hamzah dilaporkan berkata, Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad UNHCR.

Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Hamzah berkata, isu pelarian Rohingya di negara ini sudah lama dan kira-kira 150,000 yang sudah berdaftar dengan UNHCR.

Beliau berkata, rakyat negara ini perlu memahami bahawa Kerajaan tidak menahan mana-mana pelarian yang memasuki Malaysia dengan dokumen sah seperti dilakukan terhadap pelarian dari Syria dan Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 6:51 PM