Keadaan bilik darjah yang terbakar di SK Permatang Tok Kandu, Permatang Pauh. FOTO Ihsan JBPM
Keadaan bilik darjah yang terbakar di SK Permatang Tok Kandu, Permatang Pauh. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad


Permatang Pauh: Lima bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Kandu, di sini musnah dalam kebakaran lewat petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 6.02 petang berhubung insiden berkenaan.

Katanya, pasukan dari BBP Penanti, Kepala Batas dan Bayan Baru turut ke lokasi bagi membantu operasi memadam kebakaran terbabit.

"Sebaik tiba didapati kebakaran membabitkan lima kelas di tingkat tiga sekolah berkenaan.

"Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran pada masa ini, tiga kelas musnah 100 peratus manakala dua kelas lagi 40 peratus.

"Kebakaran dapat dikawal pada jam 6.31 petang dan operasi pemadaman juga turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Jelasnya, tiada mangsa yang dilaporkan terbabit memandangkan sesi persekolahan sudah tamat.

Terdahulu, tular video dan gambar di media sosial memaparkan kejadian kebakaran yang meranapkan hampir sebahagian struktur bangunan tiga tingkat sekolah itu.

Orang ramai yang melalui kawasan itu turut merakamkan kepulan asap tebal susulan insiden berkenaan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan sedang menuju ke sekolah terbabit untuk meninjau situasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 8:12 PM