PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (dua dari kiri) melihat buku laporan pada Majlis Penutup Konsultasi Bajet 2023 di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Mohd Shahar (dua dari kanan) dan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa (kanan).
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (dua dari kiri) melihat buku laporan pada Majlis Penutup Konsultasi Bajet 2023 di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Mohd Shahar (dua dari kanan) dan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa (kanan).

KERAJAAN akan mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme subsidi secara lebih bersasar supaya manfaatnya ditumpukan kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, inisiatif pembaharuan fiskal ini akan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan di samping mewujudkan ruang fiskal.

"Inisiatif pembaharuan fiskal ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti bagi melaksanakan langkah counter-cyclical (kitaran balas) untuk terus menyokong ekonomi dan mengukuhkan daya tahan negara bagi berdepan dengan cabaran masa hadapan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan.

Dalam melangkah ke hadapan, kerajaan terus komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat termasuk melindungi isi rumah daripada impak penuh kenaikan harga komoditi dan makanan global, katanya.

Beliau berkata, susulan langkah kerajaan untuk meneruskan dan menambah baik subsidi, perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion.

Mohd Shahar berkata, tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas, inflasi dianggarkan akan mencapai 11.4 peratus.

"Tahap inflasi di Malaysia kekal terkawal susulan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan.

"Tahap inflasi negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini mencatatkan kadar 2.5 peratus dan kadar inflasi ini jauh lebih rendah daripada inflasi di negara lain terutama dalam kalangan negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang mencecah sembilan peratus, sementara di negara serantau seperti Thailand, Filipina dan Singapura mencecah lebih enam peratus," katanya.

Mohd Shahar berkata, bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berterusan, fokus kerajaan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober depan tertumpu kepada inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Usaha itu akan dilakukan terutama melalui peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan, katanya.

Beliau berkata, Bajet 2023 dirangka berdasarkan lima aspek utama iaitu memperkukuh momentum pemulihan ekonomi dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Dasar (KDNK), aspek pekerjaan dan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

Aspek utama lain meliputi usaha meningkatkan daya saing negara dalam normal baharu pasca-Covid-19 dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti melalui penerapan teknologi, automasi dan pendigitalan serta menggalakkan inovasi baharu untuk pertumbuhan ekonomi secara lestari dan memperkukuh daya tahan ekonomi, kedudukan fiskal yang mampan serta pemberian subsidi dan bantuan secara lebih bersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 7:00 AM