SHAH ALAM, 4 Jan -- Orang ramai memenuhi kaunter Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Selangor untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat peribadi di dalam Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) ketika tinjauan di Bangunan Darul Ehsan, hari ini.
SHAH ALAM, 4 Jan -- Orang ramai memenuhi kaunter Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Selangor untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat peribadi di dalam Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) ketika tinjauan di Bangunan Darul Ehsan, hari ini.
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Pendaftaran dan kemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) berakhir hari ini.

Orang ramai yang belum mengemaskini maklumat mereka masih boleh berbuat demikian menerusi laman sesawang https://www.padu.gov.my atau di kaunter Padu berdekatan.

Pada 23 Mac lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan proses pendaftaran serta kemas kini sistem Padu yang akan berakhir hari ini.

Ini kerana menurut Rafizi, kerajaan perlu mematuhi jadual bagi membolehkan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi.

"Setakat saya boleh katakan kita tiada rancangan untuk lanjutkan daripada 31 Mac. Perdana Menteri sudah umumkan pada belanjawan lepas bahawa tahun ini kita akan lakukan penstrukturan semula subsidi pukal dan ke arah subsidi bersasar. Jadi kalau saya ada ruang, sudah tentu saya berbesar hati untuk lanjutkan.

"Cuma kalau kita lanjutkan (tempoh pendaftaran dan kemas kini) bermakna kita juga menolak pelaksanaan subsidi bersasar ke depan yang mana setiap satu bulan penangguhan, kerajaan menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion subsidi minyak (petrol) pukal," katanya.

Sementara dalam kenyataan semalam, Rafizi berkata jumlah individu yang mengemaskini maklumat Padu meningkat secara mendadak menjelang tarikh akhir pendaftaran hari ini.

Setakat jam 11.59 malam semalam, lebih 9.8 juta rakyat di negara ini berjaya mengemaskini maklumat mereka di Padu.

"Kadar pendaftaran dan pengemaskinian Padu naik mendadak sejak dua hari lalu, mungkin makin ramai sedar dan risau akan keciciran. Belum terlambat lagi untuk daftar. Layari www.padu.gov.my atau pergi ke kaunter Padu berhampiran kawasan anda," katanya dalam Facebook, hari ini.

Pada 2 Januari lalu, Padu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.

Objektifnya untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan yang dipacu data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.

Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata, penyasaran semula subsidi nanti akan menggunakan maklumat yang ada dalam sistem PADU.

Dalam pada itu, menerusi Facebook rasmi Padu, Selangor menjadi negeri paling tinggi mengemaskini PADU iaitu sebanyak 1.56 juta diikuti Johor (1.10 juta), Perak (0.98 juta), Sarawak (0.90 juta), Sabah (0.83 juta) dan Kedah (0.76 juta).

Negeri lain ialah Kelantan dengan 0.76 juta, Kuala Lumpur (0.57 juta), Pulau Pinang (0.56 juta), Pahang (0.55 juta), Terengganu (0.46 juta), Negeri Sembilan (0.42 juta), Melaka (0.30 juta), Perlis (0.11 juta), Putrajaya (0.3 juta) dan Labuan (0.2 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 8:30 AM